Di sebuah kampung yang tenang, terletak di antara bukit-bukit yang menghijau dan berkabus, tinggal seorang gadis kecil bernama Leia bersama neneknya. Tubuhnya kecil dan rambut hitam lebat terurai indah. Mata Leia cerah, penuh dengan rasa ingin tahu dan hati penuh dengan keajaiban. Setiap petang, tatkala matahari mulai tenggelam di sebalik bukit, Leia akan berlari ke tepi hutan, kakinya telanjang menari di atas rumput yang lembut.
Pada waktu senja itu, matanya tertumpu pada sesuatu yang agak asing baginya. Dia kenal semua jenis bunga yang selalu dilihatnya. Tetapi, bunga itu tidak. Agak aneh dan ia... mekar menawan di antara pokok-pokok bunga yang meliar di sekitar itu. Kelopaknya putih berseri dan ditengah kelopak itu, kelihatan seperti bulan penuh yang bercahaya. Leia tidak pernah melihat bunga seperti itu sebelum ini, jadi dia pun menunduk untuk melihat lebih dekat.
"Hai, bunga," dia berbisik dengan suara yang lembut.
Kelopak bunga itu berayun perlahan melambai Leia seolah-olah ia mendengarnya. Leia terpaku. Bunga itu seperti memiliki nyawa, bernafas perlahan mengikut ritma alam di sekitarnya. Dia ketawa kecil, merasa aneh tapi teruja.
"Cik bunga, apa nama awak?" Leia bertanya, jiwa fantasinya merasa yakin bunga itu bisa bersuara.
"Namaku... Bulan," jawab bunga itu, suaranya halus seperti bisikan angin. "Aku bunga yang hanya mekar pada saat senja, di antara cahaya dan bayang-bayang."
Leia terpesona. Bulan, awak bunga yang sangat cantik," puji Leia dengan mata bercahaya. "Kenapa hanya awak sekuntum di sini?
"Aku berasal dari sebuah dunia yang hanya dapat dilihat oleh mereka yang mempunyai hati yang terbuka dan matamu ada keajaiban itu," balas Bulan. " Hanya mereka yang seperti kau, anak kecil."
Leia tersenyum lalu menghidup kelopak yang lembut itu.
“Aku sudah lama memerhatikan kau, Leia. Setiap petang kau datang ke sini, berlari bebas, bermain-main dengan segenap flora di sini. Kau menyimpan banyak keajaiban dalam hatimu, dan kerana itulah kau dapat melihatku.”
Leia berasa bangga, tetapi juga rasa ingin tahunya makin membara. “Kalau begitu, Bulan, bolehkah awak tunjukkan saya ke dunia awak? Saya nak lihat tempat-tempat ajaib di sana!”
Bulan terdiam seketika, kelopaknya bergetar seperti sedang berfikir. “Itu tidak mudah, Leia. Dunia aku bukan untuk dilihat oleh mata biasa. Tapi, jika kau benar-benar ingin melihatnya, aku boleh membawa kau hanya untuk satu malam. Tetapi, ada satu syarat.”
Leia menggigit bibirnya, gementar tetapi teruja. “Apa syaratnya, Bulan?”
“Kau perlu pulang sebelum matahari terbit,” kata Bulan dengan serius. “Kalau kau tidak pulang tepat pada masanya, kau mungkin terperangkap di dunia aku selamanya.”
Leia menelan liur. Walaupun terasa sedikit takut, rasa ingin tahu dalam dirinya lebih kuat. Lagipun, dia percaya bahawa neneknya pasti akan mengerti dan memahami rasa ingin tahunya yang mendalam.
“Saya janji, Bulan. Saya akan pulang sebelum matahari terbit,” jawab Leia dengan yakin.
Bunga Bulan menggetarkan kelopaknya seakan-akan tersenyum. “Kalau begitu, pejamkan matamu, Leia, dan biarkan hatimu terbuka sepenuhnya.”
Leia memejamkan matanya. Dia merasakan angin lembut menyelubungi tubuhnya, seolah-olah angin itu memeluknya dengan penuh kasih sayang. Perlahan-lahan, dia terasa seperti sedang melayang, diangkat oleh satu kekuatan yang tidak dapat dijelaskan.
Bila Leia membuka matanya semula, dia mendapati dirinya berada di sebuah tempat yang tidak pernah dia lihat sebelumnya. Langit di atasnya penuh dengan bintang-bintang yang berkelip, lebih terang daripada apa yang pernah dilihatnya di kampung. Di sekelilingnya, bunga-bunga yang aneh dan indah tumbuh, semuanya bercahaya seolah-olah mereka mempunyai cahaya tersendiri.
“Bulan, ini… luar biasa,” kata Leia terpegun, matanya tidak lepas memandang setiap keindahan yang terpamer di hadapannya.
“Ini dunia tempat aku tinggal, Leia,” jawab Bulan yang kini berada di sebelah Leia dalam bentuk cahaya kecil yang mengapung. “Di sini, keajaiban tidak pernah berakhir.”
Leia melangkah perlahan, kakinya menyentuh tanah yang berbentuk awan yang lembut dan sejuk. Setiap langkahnya, bunga-bunga bercahaya tumbuh di bawah tapak kakinya, seolah-olah mengalu-alukan kehadirannya.
Tetapi seiring dengan masa yang berlalu, Leia mula merasa sesuatu menariknya kembali. Cahaya-cahaya di sekelilingnya mulai malap, dan suara Bulan mula kedengaran samar.
“Leia… sudah hampir waktu untuk kau pulang.”
Leia tersentak. Dia memandang ke arah langit, melihat bintang-bintang mula memudar di kaki langit yang semakin pudar. Panik mula menguasai hatinya.
“Tunggu, Bulan! Saya belum bersedia untuk pulang!”
Namun, Bulan menggeleng. “Ingatlah janjimu, Leia. Jika kau tidak kembali sekarang, kau mungkin tidak akan kembali lagi.”
Dengan berat hati, Leia menutup matanya, membiarkan angin sekali lagi menyelimutinya. Sekelip mata, dia merasakan tanah lembut kampungnya di bawah tapak kakinya. Saat dia membuka mata, Leia berdiri di hadapan rumahnya. Matahari pertama mulai muncul.
Nenek Leia berdiri tidak jauh, tersenyum penuh kasih sayang. “Leia pergi ke mana? Puas nenek mencari Leia.
Leia tersenyum, masih teringat akan cahaya dan keindahan dunia bunga misteri tadi. Leia berlari ke arah neneknya dan memeluk erat tubuh tua yang kerisauan itu.
Sejak hari itu, setiap kali senja tiba, Leia selalu berharap dapat bertemu Bulan sekali lagi. Namun, dia tahu, dunia itu akan kekal menjadi rahsia kecil yang indah dalam hatinya, hanya untuk mereka yang percaya pada keajaiban.
Post a Comment