Bayang Kosong

Leia berjalan perlahan menelusuri rak-rak buku di dalam perpustakaan usang yang penuh dengan buku-buku berdebu dan berkulit pudar. Cahaya lilin yang malap menambah kesuraman suasana, seolah-olah mencerminkan kekosongan yang sedang dirasakannya. Setiap langkah Leia di atas lantai kayu yang usang itu menghasilkan bunyi berderit perlahan, seakan-akan lantai tersebut rapuh dan hampir runtuh di bawah berat tubuhnya. "Kriiit... kriiit..." bunyi kayu yang berkeriut itu memenuhi ruang perpustakaan usang, seperti ingin memberi amaran, namun Leia terus melangkah dengan berhati-hati, bimbang jika satu langkah yang salah akan menyebabkan lantai itu runtuh.


Dalam pencarian yang penuh risiko ini, Leia berharap dapat menemukan jawapan yang selama ini menghantui fikirannya. Setiap hela nafas di perpustakaan usang itu seakan memegang rahsia yang terkunci. Dia mencari sesuatu yang mampu mengisi kekosongan yang tidak pernah terjawab. Persoalan yang lompang dalam hidupnya, kosong dan tanpa arah. Dia sendiri tidak tahu persoalan apakah yang dicarinya dan jawapan apakah sesuai keinginannya. Perasaannya bagai terikat pada sebuah keperluan untuk memahami, namun dia tidak tahu apakah jawapan itu benar-benar wujud atau hanya bayangan harapan yang diciptanya sendiri. Leia diambang kekeliruan.


"Bila Leia rasa hilang dan tak tahu ke mana, perpustakaan itu akan menemanimu. Leia tahu di mana untuk mencarinya, kelak," pesanan terakhir nenek Leia sebelum meninggal dunia sedang terngiang-ngiang di fikirannya.


Dulu, Leia memiliki matlamat yang jelas. Dia tahu apa yang dia inginkan dalam hidup dan ke mana arah tujuannya. Namun, selepas kematian satu-satunya keluarga yang dia ada, iaitu neneknya, tempat dia bergantung untuk nasihat dan bimbingan, Leia mulai merasa dirinya tersasar. Bagi Leia, neneknya bukan sekadar penjaga, tetapi seorang pendidik yang bijaksana, yang selalu mengajar Leia tentang falsafah hidup. Tetapi kini, tanpa neneknya, Leia kehilangan panduan yang selama ini menjadi tonggak kekuatannya. 


Perpustakaan usang ini bukanlah perpustakaan biasa; ia adalah tempat yang penuh dengan keajaiban dan misteri, sama seperti yang pernah diceritakan oleh nenek Leia. Rak-rak buku yang tinggi dan pudar, suasana yang suram, serta bau usang yang menyelimuti tempat itu, semuanya mengingatkan Leia tentang ceritera legenda yang sering diungkapkan oleh neneknya. 


Dia berhenti seketika di hadapan sebuah rak yang tinggi, di mana buku-buku terletak dalam keadaan yang teratur seperti tidak pernah disentuh. Di sekelilingnya, cahaya lampu lilin yang malap mencipta bayang-bayang dan suasana yang tenang itu seolah-olah menyembunyikan rahsia yang sukar dikenal pasti. Leia merasakan bahawa setiap buku di situ mempunyai kisahnya sendiri, menunggu untuk diungkap.


Sementara itu, matanya tertumpu pada sesuatu yang agak aneh di celah-celah rak buku. Dia menemui sebuah peti kayu antik yang tersembunyi di belakang rak. Dengan hati-hati, Leia membuka peti kayu antik itu dan menemukan sebuah manuskrip bersaiz A4 yang sudah pudar kekuningan. Manuskrip itu bersinar dengan cahaya lembut yang aneh, seolah-olah ia mempunyai tenaga hidupnya sendiri. Leia menghidu manuskrip itu, terasa harum seperti kenangan lama yang menyentuh jiwanya.


"Harumnya..." 


Dengan penuh rasa teruja, Leia membelek helaian manuskrip tersebut. Namun, halaman pertama kelihatan kosong, begitu juga dengan halaman-halaman seterusnya. Hati Leia berdebar, berharap agar manuskrip ini bukan sekadar sebuah ilusi. Dia terus membelek helaian demi helaian dengan penuh sabar, mencari-cari tanda-tanda atau petunjuk yang mungkin tersembunyi di dalamnya. Keheningan perpustakaan seakan menambah ketegangan, membuatkan setiap saat terasa lebih panjang. Apakah manuskrip ini benar-benar menyimpan rahsia yang dicari-carinya, atau adakah ia hanya sekeping kertas kosong yang menanti sesuatu untuk menghidupkannya?


Leia memutuskan untuk mengingati kembali falsafah neneknya. Dia duduk sejenak, menutup mata, dan cuba mengingat setiap perincian yang pernah dikongsi oleh neneknya tentang perpustakaan usang tersebut.


Leia tiba-tiba teringat neneknya pernah menyebut tentang “kunci pemikiran” yang diperlukan untuk membuka suatu rahsia. Neneknya pernah berkata, “Kadang-kadang, kalau kita rasa buntu, ia memerlukan pemikiran yang mendalam. Apa yang kita cari sebenarnya ada di dalam diri kita sendiri."


Leia memeriksa manuskrip dengan pendekatan yang berbeza. Sambil meneliti, Leia menyedari bahawa beberapa halaman kosong itu sebenarnya mempunyai corak halus yang sukar ditafsirkan. Menggunakan teknik berfikir ajaran neneknya, Leia mula memecahkan kod tulisan yang tersembunyi satu per satu.


Perlahan-lahan, corak-corak halus itu mula membentuk simbol-simbol dan tulisan yang tersembunyi di sebalik permukaan. “Ini dia,” bisik Leia dalam hati. Satu demi satu corak itu terurai, mendedahkan rahsia yang tersembunyi sekian lama. 


Leia terdiam, merenung teks yang kini jelas di hadapannya. Manuskrip yang kelihatan kosong tadi kini menjadi kunci yang membuka pemahaman baru dalam dirinya. “Nenek betul,” fikir Leia. “Jawapan itu sudah lama ada, cuma aku perlu melihatnya dengan cara yang berbeza.”


Ada satu catatan yang menyentuh hati Leia.  

"Kendatipun dugaan dan penderitaan melanda, setiap cabaran mengandungi rahmat Tuhan, kerana fiil kita mencerminkan kekuatan atma yang sejati. Seyugia, kita menyedari bahawa hidup di mayapada ini penuh dengan masyghul, namun setiap langkah adalah maslahat untuk jiwa. Barang bila geruh nasib menguji, atma yang kamil tetap teguh, memahami bahawa erti hidup bukan pada akhir perjalanan, tetapi pada setiap detik yang dilalui dengan sabar. Dalam kegelapan sahmura, abrar akan mendapati kebijaksanaan yang tersembunyi, membawa ketenangan dalam jiwa.”

Leia merasa sebak. Kata-kata itu memberikan pengertian baru kepada pencariannya. Selama ini, dia tertekan dengan kekosongan jiwa, persoalan yang tidak pernah terjawab. Dia akhirnya sedar bahawa terlalu lama dia menumpukan perhatian kepada matlamat akhir, hingga melupakan untuk menghargai setiap langkah yang diambil. Setiap pengalaman, sama ada baik atau buruk, adalah bahagian penting dalam pembentukan dirinya. Leia kini menyedari bahawa dia telah terlepas pandang semua ini, dan pencariannya sebenarnya lebih bermakna daripada yang disangka.


Hati Leia kini lebih tenang. Leia menutup manuskrip itu lalu diletakkan kembali ke tempat asalnya sambil memikirkan walaupun pencariannya belum berakhir, dia kini lebih memahami bahawa tujuan bukanlah akhir, tetapi perjalanan itu sendiri.


Leia membersihkan tangannya yang berdebu dan berdiri dengan senyuman yang penuh pengertian. Dengan langkah yang lebih ringan dan hati yang lebih damai, Leia meninggalkan perpustakaan usang itu. Dia memandang ke hadapan dengan rasa tenang dan penerimaan baru terhadap perjalanan hidupnya. Perpustakaan yang penuh magis itu kembali menjadi tempat yang tenang, menyimpan rahsia dan keajaiban untuk mereka yang layak.

Post a Comment